Secara tidak sengaja, aku terambil buku Ahmad Boestamam. Memang ianya sebuah buku biografi. Asalnya, tahun ini aku ingin membaca biografi Shamsiah Fakih. Atas alasan, bukunya agak tebal dan aku seorang pembaca yang poligamis, aku tangguhkan dahulu.
Seperti Ahmad Boestamam(kini akan ditulis Ahmad), aku juga mempunyai cita-cita menjadi seorang polis. Mungkin terpengaruh dengan cerita Gerak Khas, niat dan cita-cita itu aku pegang kukuh. Pada zaman sekolahnya aku masuk persatuan Kadet Polis.
disebabkan pada ketika itu, persatuan tersebut tidak aktif. Maka, aku mula menceburi bidang sukan. Lama-kelamaan niatku kian pudar. Sehingga ke alam universiti, aku tidak sempat mendaftar di bawah persatuan Suksis(persatuan polis).
Bermula niat menjadi seorang penulis lahir daripada sebuah kegagalan. Pada waktu itu, aku juga ingin dipandang orang. Kelemahan dalam akademik menyebabkan aku semakin cenderung untuk menjadi seorang penulis. Tambahan, kursus pengajian agama bukan satu kursus pilihan. Asalnya aku ingin menyambung pelajaran di UTHM, dalam bidang Marin. Apa lagi pilihan, selain meminta untuk disambungkan ke Usuluddin. Minat dan kecenderungan ini bermula apabila aku memahami bahawa bidang usuluddin adalah berkaitan pemikiran. Sama halnya dengan pelajaran sains yang aku minati iaitu fizik dan matematik.
Namun, usuluddin tidak mampu mengubat hatiku. Aku seorang yang suka belajar di luar bidang. Tanpa aku sedari, aku mengenali sosok Faisal Tehrani. Aku cungkil segala maklumat dan aku godam segala sejarah. Aku temui, jalan seorang penulis bakal memenuhi cita-cita kedua aku, iaitu ingin menyambung pelajaran dalam bidang Marin, Matematik dan Fizik.
Tulisan yang menyebabkan aku semakin berahi untuk menjadi penulis , bermula dengan sebuah esei pembukaan dalam buku Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang. Hanya esei itu sahaja membuka hati aku. Setelah aku temui sebuah video, aku pun membaca Bedar Sukma Bisu berkali-kali. Hasil novel ini, aku menulis dan kebetulan aku kongsikan pada rakan-rakan di Facebook. Sambutannya ada, malah mereka menyokong aku tanpa aku dan mereka sedari.
Tidak aku nafikan, bahawa sebilangan rakan aku juga menyokong dan sering bertanya pada aku. Pertanyaan itu membuatkan aku rasa dihargai, dan aku terus-menerus mempelajari dan berkongsi kepada mereka.
walaupun aku belum layak untuk digelar seorang penulis, namun aku akui bahawa kerja seorang penulis sangat ikhlas. Mungkin akan diadili apabila aku mempunyai karya dan jalan yang akan aku pilih sendiri. Lupa untuk dinyatakan, minat untuk menulis dan menggambarkan penindasan sebenarnya dicorak oleh beberapa peristiwa dan bahan.
Mungkinkah, aku akan menjadi seorang penulis yang hanya bercerita atau seorang penulis yang akan menggubal undang-undang pemikiran yang baharu?
Kata Soekarno "Manusia hanya merancang, sedangkan Tuhan Maha Perancang". Aku kira, aku masih meletakkan misteri terhadap cita-cita menjadi seorang penulis ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan