Antagonis,

Tulisan ini tidak mampu mengubah dunia,
Apatah lagi ingin mengubah cuaca,
Jauh sekali menghalang malapetaka,

Aku cuma berharap,
Tulisan ini mampu membuatkan kau,
berfikir dan bahagia.

Ahad, 18 Januari 2015

Kerja Makan

Semalam , terbuka satu kitab Tasawuf. Tajuknya aku tak ingat, tapi aku ingat lagi dia cerita bab makan. Kenapa makan perlu disederhanakan. Jadi, jum kita sama-sama belajar sikit pasal makan. Kita belajar tasawuf bukan nak dekat dengan Tuhan sahaja, satu-satunya kitab yang boleh ajar manusia jadi manusia, inilah kitabnya.

Berbalik kepada bab makan, sekurangnya kita pernah ditanya, kita makan untuk apa? Makan untuk hidup atau hidup untuk makan. Ini soalan asas yang berjaya menggerakkan kita untuk berfikir sedikit. Cuma,setelah aku menyelak perihal makan, aku andaikan bahawa manusia bukan hidup untuk makan. Bukan jua makan untuk hidup. Manusia sebenarnya "Makan untuk tidur".

Kenapa tidur?

Dalam diri manusia ada satu benda yang dipanggil nafsu. Sebut nafsu orang akan terbayang perempuan;lelaki. Manakala perempuan mungkin akan membayangkan betapa banyak baju cantik yang diaorang pakai, mungkin juga barang kemas. Atau mungkin juga mereka akan membayangkan apa-apa sahaja bentuk pembaziran.

Tapi, sedarkah kita bahawa nafsu bukan sahaja menyebabkan manusia sentiasa pentingkan diri, sentiasa sibuk pasal dirinya sendiri? Bukankah manusia yang berpegang kepada nafsu adalah manusia yang hanya menceritakan perihal mengenai dirinya? Manusia yang bercerita perihal dirinya?

Kalau dia fikir pasal orang lain, dia tak akan ikut nafsu, sebab nafsu dia dengan orang belum tentu sama. Kalau dia peduli tentang kesusahan orang akibat nafsunya, dia tidak akan mengikuti nafsu. tapi, disebabkan dia "tidur", tidak mustahil dia sendiri tidak sedar akan perlakuannya.

Makan

Simbolik makan digunakan oleh Al-Ghazali untuk memelihara nafsu daripada semakin gemuk dan gebu, semakin sihat dan semakin bebas daripada sebarang penyakit. Nafsu bukan seharusnya perlu dibunuh, tetapi dikawal.

Dalam diri manusia ada 3 fakulti yang bergerak dan sentiasa mengalahkan antara satu sama lain. Fakulti rasional, marah, dan nafsu. Walaupun ketiga-tiga fakulti ini sering mengalahkan antara satu sama lain, namun jika seseorang itu berjaya mengawalnya, maka akan timbul satu keadaan yang dinamakan "keadilan". Kerana itulah nafsu, marah dan rasional tidak seharusnya dilenyapkan atau dibunuh. Sebaiknya ia dikawal.

Perkara utama untuk memelihara nafsu adalah dengan makan. Pastikan apabila kita makan, kita tidak berasa terlalu kenyang atau terlalu lapar. Dengan erti kata yang lain, setelah kita makan, kita tidak berasa kenyang, atau terasa lapar. Cuma yang ada rasa nak tambah makan sahaja. Jadi, tahanlah.

Makan untuk Tidur

Ironinya, manusia bukan mahu untuk sederhana dalam makan. Selebihnya mereka akan tibai selagi mampu. Selagi muat, dan selagi boleh terisi. Ibaratkan kereta, mereka akan isi minyak sampai full. Tak cukup dengan itu, mereka akan buat "bekalan", takut tak jumpa stesen minyak. Begitulah gaya manusia makan.

Disebabkan perut sentiasa terisi penuh, mereka berasa malas. Berasa sedap dan tidak mempu berfikir apa-apa. Mereka tidak mampu berfikir bagaimana nasib jiran, housemate atau adik mereka sendiri. Semuanya disebabkan kenyang. Kenyang itu nikmat, nikmat yang membutakan mata manusia. Jarang ada manusia yang kenyang, tapi masih mampu untuk berfikir tentang orang lain. Selalunya manusia akan tidur.

Kerana ini, manusia sentiasa tidur. Manusia makan untuk tidur. Saat mereka tidur, mereka tidak menyedari nasib orang lain, kesusahan orang lain, derita orang lain.

hari demi hari mereka suka untuk makan, sehinggakan mereka mengabaikan orang lain. Dan kesian, manusia yang tidak dipedulikan seperti gelandangan, anak-anak yatim dan orang miskin terabai.

Jangan salahkan kekayaan yang mereka perolehi, salahkan kerana falsafah hidup mereka bukan berkisar soal kemanusiaan, keagamaan dan kesejahteraan. Falsafah hidup mereka adalah untuk tidur. Mereka adalah manusia yang hilang sifat manusia, kerana seorang manusia kerjanya bukan sekadar untuk tidur tetapi untuk hidup, bernafas, membantu orang lain, berasa lapar dan dahaga.

"Makan untuk tidur".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan